Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Suspek kes rogol berjaya diberkas



PORT DICKSON – Polis Port Dickson berjaya memberkas seorang lelaki dipercayai suspek kes rogol seorang wanita berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di sekitar Port Dickson beberapa jam selepas mangsa buat laporan polis.

Menurutnya, difahamkan mangsa baru mengenali suspek selama empat hari sebelum dirogol.

“Menurut laporan, dia berkenalan dengan suspek di sebuah kedai di Batu 9 Telok Kemang,” katanya.

Baljeet berkata, mereka kemudian bertukar nombor telefon dan sering berhubung sehingga suspek mengajak mangsa untuk berkahwin.

“Pada hari kejadian iaitu Selasa lalu, suspek membawa mangsa keluar kononnya untuk membeli cincin pernikahan, namun dia dibawa ke sebuah apartmen di Batu 9 Telok Kemang dan dipaksa melakukan hubungan seks.

“Mangsa membuat laporan polis keesokan harinya dan suspek berjaya ditahan untuk bantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki masih diburu polis bagi membantu menyelesaikan sebuah kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Kejadian berlaku pada 17 Jun lalu jam 7.30 malam di sebuah padang di Batu 4 Port Dickson.

“Menurut laporan mangsa, dia yang berada berhampiran padang berkenaan secara tiba-tiba ditarik oleh seorang lelaki lalu dirogol sebelum ditinggalkan,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras kejadian rogol.

“Sentiasa lakukan langkah pencegahan seperti tidak keluar dengan lelaki yang tidak dikenali atau berjalan bersendirian di kawasan sunyi,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment