Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

SPRM cekup 8 penyeludup

KUCHING: Kelicikan lapan lelaki termasuk seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup barang kawalan membabitkan nilai subsidi lebih RM1 juta setahun ke Kalimantan Barat, Indonesia, berakhir apabila mereka ditahan di sempadan Tebedu-Entikong, dekat Serian, kelmarin.

Kegiatan kumpulan terbabit ditumpaskan dalam operasi khas digerakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya yang menyaksikan cubaan menyeludup 488 tong gas, 816 kilogram minyak masak serta 4,000 kilogram gula.


Nilai subsidi tiga jenis barang kawalan berkenaan dianggarkan RM7,300 yang cuba dibawa menerusi pintu sempadan tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia.

Menurut sumber, kegiatan penyeludup terbabit terbongkar selepas SPRM menerima maklumat berhubung kewujudan tiga lori dari negara jiran cuba membawa keluar tong gas, gula dan minyak masak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu.


Katanya, suspek yang ditahan membabitkan seorang pegawai KDRM, pembekal berlesen barangan subsidi warga tempatan yang masing-masing berusia 40-an serta lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan berusia antara 22 hingga 55 tahun.


“Kegiatan penyeludupan dikatakan berlaku setiap hari dan dipercayai turut membabitkan beberapa lagi kumpulan lain dan kegiatan itu menyebabkan kerajaan kerugian barangan subsidi lebih RM1 juta setahun,” katanya.

Sumber itu berkata, penyeludupan di sempadan Malaysia-Indonesia dikatakan sudah lama berlaku secara berleluasa dan dikaitkan dengan sindiket terancang yang menggunakan pembekal berlesen serta pembabitan beberapa pegawai pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan kegiatan itu berjalan lancar.


“Kejayaan itu diyakini membawa kepada beberapa siri tangkapan lain dalam tempoh terdekat, termasuk anggota pihak berkuasa yang bertugas mengawal pintu sempadan di sini,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuching di sini semalam membenarkan semua lapan suspek direman empat hari bagi membantu siasatan SPRM. Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Kuching, Othman Anyan di depan Pendaftar Mahkamah, Aida Buntong, mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.


Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.


Othman berkata, pegawai KDRM yang bertugas di CIQ Tebedu ditahan selepas disyaki bersubahat dengan kumpulan.

myMetro | SPRM cekup 8 penyeludup

No comments:

Post a Comment