Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Sindikit pindah minyak masak tumpas



JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 51,000 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM127,500 selepas menyerbu sebuah kilang di Taman Kota Puteri, Masai, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan jam 3 pagi itu turut menahan dua individu warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang sedang melakukan operasi pemindahan minyak masak subsidi paket dan botol dalam tujuh buah tangki kecil.

Menurutnya, 25,000 kg minyak masak di dalam tangki khas ditemui hasil daripada pemeriksaan lanjut diikuti 22,000 kg masih di dalam bungkusan dan bakinya di dalam dua buah tangki kecil, masing-masing memuatkan 3,200 kg dan 1,000 kg.

“Kegiatan ini dipercayai bermula dua hingga tiga bulan lalu dan kami mendapati mereka mendapat keuntungan kasar kira-kira RM60,000 apabila minyak masak berkenaan dijual semula di pasaran terbuka.

“Kesemua minyak masak ini datang dari Kuantan, Lembah Klang dan Melaka dan pemiliknya sedang dikesan. Setakat ini kami masih belum mengenal pasti sama ada minyak masak ini dijual kepada industri atau diseludup keluar,” katanya kepada pemberita di premis terbabit, di sini, semalam.

Katanya, apa yang pasti kegiatan itu mengambil hak pengguna dan menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Menurutnya, kerja pemindahan minyak masak yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu bermula dengan memindahkan minyak subsidi dari tangki kecil ke dalam sebuah tangki simpanan menggunakan pam sebelum dibawa keluar menggunakan lori tangki.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu atau kedua-duanya manakala syarikat pula didenda tidak melebihi RM250,000,” katanya.

Operasi melibatkan lapan pegawai KPDNKK negeri dan cawangan Melaka itu dibuat selepas risikan selama tiga minggu.

Abdul Hamid turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya mematuhi ketetapan KPDNKK berhubung larangan menjual petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

“Pemantauan menyeluruh dibuat setiap hari dan setakat ini, tiga stesen minyak di bandar raya ini telah dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan pengusaha stesen minyak untuk memberi penjelasan bagaimana untuk mematuhi ketetapan yang sudah dibuat,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment