Search This Blog

Saturday, July 16, 2011

Sindiket palsu daftar PATI bawah Program 6P dikesan

SEREMBAN 15 Julai - Syarikat yang tidak dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menguruskan pendaftaran dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P kini dilaporkan cuba mengaut keuntungan daripada pendatang asing terbabit.

Sindiket berkenaan dikatakan membuat tawaran palsu kepada PATI kononnya mereka boleh menguruskan pendaftaran berkenaan, selain menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini dengan gaji yang lebih lumayan.

Sumber Jabatan Imigresen negeri memberitahu, pihaknya sedang memantau penipuan ini melalui kain rentang yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini.

"Sindiket ini dikesan menawarkan perkara yang tidak wujud melalui Program 6P ini," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.

Program 6P ditangguhkan sementara bagi pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing sebelum ia dimulakan pada 1 Ogos depan.

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing dilaksanakan dahulu bagi menangani isu berhubung tindakan pekerja asing sah yang merancang melarikan diri daripada majikan asal untuk menyertai Program 6P.

Menurut sumber itu, sindiket ini cuba memancing pekerja sah dan tidak sah di kilang berskala kecil atau mana-mana sektor perkhidmatan kononnya mereka merupakan wakil yang telah dilantik oleh KDN untuk tujuan berkenaan.

"Lebih malang, sindiket ini memujuk pekerja kilang yang sah supaya membuang pasport mereka, melarikan diri dan didaftarkan di bawah Program 6P," katanya.

Difahamkan, sindiket ini menawarkan perkhidmatan sehingga RM500 ke RM1,500 untuk mendaftar seorang PATI.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman ketika ditemui hari ini mengesahkan wujudnya syarikat yang tidak bertanggungjawab itu dan pihaknya kini memantau perkembangan itu dengan serius.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

1 comment:

  1. Hello! Saya Ejen sah Program Pemutihan PATI,Lokasi pejabat di Ampang,Kuala Lumpur. Harga RM300 sahaja, kalau takde transport saya boleh ambil dan hantar tapi saya caj RM15 seorang untuk Transport...Bawa kawan ada komisen .Kalau minat PM atau sms 019 544 6464

    ReplyDelete