Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Saya fikir akan mati: Roslam



PELABUHAN BARAT - “Saya fikir akan mati sebaik lori saya bergoyang kuat sejurus dilanggar lori kontena, namun saya bersyukur masih panjang umur dan tiada sebarang kecederaan,” demikian cerita pemandu lori dikenali Roslam berkenaan detik-detik cemas yang dilalui selepas lori dipandunya dilanggar sebuah lori kontena di bahagian belakang, kelmarin.

Menurutnya, sebaik bunyi dentuman kuat berakhir, dia menggagahkan diri keluar dari lorinya dan terkejut melihat lori kontena itu melekat pada bahagian lorinya dengan pemandunya dalam keadaan lemah.

“Namun beberapa minit kemudian, saya lihat pemandunya seorang lelaki Cina keluar sambil memegang tangannya yang sakit.

“Keadaan lori itu sangat teruk dan saya yakin kalau ada kelindan bersebelahannya pasti kejadian lebih serius berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memperlahankan kenderaannya secara tiba-tiba kerana tayar hadapan bocor.

“Jadi saya pandu lori perlahan-lahan ke lorong kecemasan dan belum sempat memberhentikan kenderaan, lori kontena itu terlebih dahulu merempuh bahagian belakang lori saya,” katanya.

Katanya, rempuhan kuat menyebabkan salah satu kontena yang dibawa tercampak ke lorong kanan.

Dalam masa sama, sebuah lori yang kebetulan melalui lorong kanan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar kontena kosong itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Roslam termasuk dua lagi pemandu kenderaan berat terselamat dan salah seorang daripadanya cedera ringan selepas berlaku kemalangan melibatkan ketiga-tiga kenderaan di Jambatan Marin arah Klang menghala Pelabuhan Barat.

Berikutan kejadian itu, jalan kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan. Akibatnya berlaku kesesakan teruk sehingga menjangkau tiga kilometer.

Bagi mengurangkan masalah itu, Polis Trafik dari Balai Klang Selatan dan Pelabuhan Barat terpaksa mengubah laluan sehala kepada dua hala bagi laluan arah Klang.

Bagaimanapun, kerja pengalihan dan kesesakan jalan dapat dikurangkan kira-kira dua jam kemudian.
SH

No comments:

Post a Comment