Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Samun bersenjatakan pistol



KULIM - Seorang lelaki lingkungan 20-an yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan wang tunai, barangan peribadi dan beberapa karton rokok ketika melakukan samun di sebuah kedai di Taman Senangin kira-kira jam 4.10 petang, kelmarin.

:Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, ketika kejadian, pemilik premis sedang menjalankan perniagaannya. Selain pemilik premis, pelanggan yang ada dalam kedai itu turut disamun.

“Seorang lelaki bersenjatakan pistol kemudiannya keluar dari kereta Proton Wira warna hitam dan masuk ke dalam kedai dan melakukan samun terhadap pemilik dan semua pelanggan yang ada di dalamnya. Suspek kemudiannya berlari keluar dan masuk ke dalam keretanya semula dan berhenti di lorong belakang kedai terbabit.

“Mangsa adalah ahli PPKM. Dia memaklumkan tentang kejadian itu melalui alat perhubungan. Ahli PPKM yang ada di tempat kejadian kemudiannya mengejar Proton Wira yang dipandu suspek,” katanya.

Eng Khim berkata, beliau nampak kereta suspek keluar dari Tol Lebuh Raya Butterworth Kulim Express (BKE) kemudiannya belok masuk ke Jalan Mengkuang dan menghala ke Brapit.

Beliau kemudiannya menghubungi ahli PPKM di Bukit Mertajam untuk mendapatkan bantuan.

PPKM terus memburu suspek hingga ke Kampung Baru Bukit Mertajam. Memandangkan keadaan jalan terlalu sesak ketika itu, suspek terpaksa meninggalkan kereta dan berlari keluar.

“Ahli PPKM yang ada di sekitar kawasan cuba mengepung suspek, tetapi khuatir dicederakan kerana suspek mempunyai pistol. Bagaimanapun kereta digunakan suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kulim (IPD) Kulim,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kereta suspek diperiksa Unit Forensik untuk mengesan cap jari penjenayah terlibat.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

“Polis masih mengesan semua suspek terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment