Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Rumah imam dipukul ribut



MENTAKAB – Imam masjid Kampung Desa Bakti di sini yang sedang bersiap untuk menunaikan solat asar petang kelmarin dikejutkan dengan dentuman petir serentak ribut dari belakang rumahnya hingga menyebabkan kerosakan pada bumbung.

Imam itu, Ramli Mat Zali, 73, duduk di ruang makan bahagian dapur ketika hujan lebat bersama petir petang kelmarin.

Menurutnya, ketika mahu mengambil wuduk, dia terdengar dentuman kuat dan sempat memalingkan muka ke luar rumah.

“Semasa kejadian, saya lihat panahan petir di luar rumah dan sekelompok sampah berterbangan dibawa angin seperti puting beliung terus merempuh bumbung rumah saya.

“Ketika dalam kekalutan itu, saya cuba azan tetapi tak bersuara lalu dibawa seorang anak dan isteri ke ruang tamu untuk berlindung,” katanya.

Ramli berkata, ketika berjalan untuk berlindung, atap zink dapur dan beberapa kayu tercabut dari rumahnya dan melayang ke depan.

Menurutnya, pada masa sama, ribut turut menghentam bengkel kereta milik anaknya di depan rumah lalu menerbangkan bumbung sejauh lebih 10 meter.

“Bumbung bengkel anak saya jatuh betul-betul di atas jalan utama Temerloh ke Karak, nasib baik ketika kejadian tidak banyak kenderaan lalu,” katanya.

Ramli yang juga bekas ketua kampung Desa Bakti berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang anak lelaki dan isterinya, Siti Hasnah Singah, 65, berada dalam rumah.

Menurutnya, selepas kira-kira setengah jam, hujan mulai reda dan beberapa pihak termasuk ketua kampung antara terawal meninjau kerosakan pada rumahnya.

“Nasib baik kejadian ribut ini tidak menyebabkan kecederaan atau lebih dahsyat kehilangan nyawa. Sepanjang hampir 40 tahun tinggal di sini, ini adalah kejadian ketiga dan paling dahsyat.

“Kejadian pertama berlaku lebih 10 tahun dulu, kedua pada 2008 tetapi kejadian semalam paling teruk kerana saya lihat angin sama macam puting beliung,” katanya.

Ramli berkata, selain rumahnya, terdapat sebuah lagi rumah terbabit dalam kejadian itu selain masjid yang terkopak atapnya. Ramli kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab mengenai kejadian itu.
SH

No comments:

Post a Comment