Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Rumah 100 tahun rentung



LENGGONG – Satu keluarga di Kampung Masjid Jamek, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia 100 tahun rentung dalam satu kebakaran, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohd Najib Rosli, 31, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barangan dalam rumah termasuk dokumen-dokumen penting.

Menurutnya, hanya dalam masa 15 minit, rumah pusaka peninggalan nenek moyangnya rentung dalam kejadian kebakaran itu.

“Walau bagaimanapun saya bersyukur dan bernasib baik kerana isteri dan anak tidak bersama ketika kejadian kerana menjaga datuk yang sedang sakit di kampung bersebelahan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 pagi dan telah turut meranapkan khazanah lama tinggalan nenek moyang yang tersimpan dalam rumah itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menceritakan kembali saat kejadian, Mohd Najib berkata, dia tidur sendirian ketika itu dan terjaga kerana kipas syiling di bilik tidurnya tidak berfungsi secara tiba-tiba serta lampu turut padam.

Katanya, sebaik menyedari keadaan itu, dia terus ke bahagian bawah dalam keadaan mamai untuk memeriksa apa yang berlaku dan terkejut ketika melihat api di tingkat atas, bahagian belakang rumahnya.

“Melihat api berkenaan, saya segera bergegas naik semula ke tingkat atas dan mendapati api marak di sebuah bilik bahagian belakang rumah, lalu bergegas menyelamatkan diri ke rumah jiran.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya hanya dapat menyelamatkan diri sahaja dalam keadaan sehelai sepinggang,” kata Mohd Najib.

Mohd Najib yang bekerja sebagai mekanik sambilan turut menyatakan rasa sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah pusaka yang musnah di hadapan matanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, bomba mendapat panggilan sekitar jam 3.34 pagi berhubung kejadian dan mengambil masa tiga minit untuk sampai ke lokasi.

“Tujuh anggota bersama satu jentera telah ke lokasi dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.55 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pemilik dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM160,000,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment