Search This Blog

Sunday, July 31, 2011

Rugi RM350,000



ROMPIN - Sebuah premis barang kemas, dekat sini yang diusahakan hampir 10 tahun mengalami kerugian kira-kira RM350,000 apabila kedai berkenaan dirompak sekumpulan penjenayah bersenjatakan pistol, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu, pemilik kedai berusia 51 tahun sedang bersendirian di kaunter manakala isteri dan anak perempuannya berusia lima tahun berada di dalam sebuah bilik di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bertopeng menaiki kereta jenis Proton Wira warna kelabu, manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, salah seorang suspek bersenjatakan pistol kemudian mengarahkan mangsa menundudukkan kepala, manakala rakannya memegang tukul.

“Isteri mangsa juga turut diarahkan tunduk ke lantai. Suspek seterusnya memecahkan cermin kaca pameran lalu mengambil sejumlah barang kemas.

“Kejadian itu turut disedari peniaga premis berdekatan dan keempat-empat suspek melarikan diri menaiki Proton Wira berkenaan bersama hasil samun,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Mohd Sabri berkata, kesemua suspek yang berpakaian gelap itu bagaimanapun tidak melepaskan sebarang tembakan dan mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah membuat pemeriksaan terhadap kereta berkenaan, didapati ia adalah nombor pendaftaran palsu.

“Kita sedang mempergiatkan usaha memburu semua suspek selain membuat sekatan di beberapa kawasan di daerah ini bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222 atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment