Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Remaja diperalat kutip derma



KUALA ROMPIN – Jika rakan seusia lain sibuk bersekolah, namun terdapat segelintir remaja yang menjadikan stesen minyak dan institusi perbankan di daerah ini sebagai tempat mereka mengutip derma atau membuat jualan amal.

Kegiatan mereka sebelum ini pernah didedahkan Sinar Harian, namun ia hanya ‘diam’ seketika sebelum kelibat remaja perempuan seawal usia 13 hingga 17 tahun itu muncul semula dengan menggunakan modus operandi sama seperti sebelum ini.

Seorang pengunjung stesen minyak, Mohd Saufi Radzali, 28, berkata, kegiatan itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan menjadikan kawasan stesen minyak dan institusi perbankan sebagai sasaran utama.

“Apa yang mendukacitakan, remaja ini diperalat oleh pihak tertentu yang kononnya mahu mendirikan sebuah rumah amal di Kedah, namun perkara ini menimbulkan keraguan kepada saya kerana sehingga kini rumah amal yang dimaksudkan masih belum didirikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pelanggan bank, Rahimi Abu Samah, 30, berkata, dia didatangi remaja yang sama sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan lalu ketika mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang segera (ATM).

“Biasanya remaja perempuan ini akan menghampiri pelanggan bank dengan menyatakan hasrat dan tujuan mereka menjual barangan bagi membantu rumah amal.

"Namun ada juga dalam kalangan mereka dengan jelas memohon sumbangan ikhlas,” katanya.

Menurutnya, kegiatan seperti itu perlu dibanteras bagi mengelakkan rasa malu umat Islam yang kononnya hanya bergantung harap kepada sumbangan derma semata-mata untuk mendirikan rumah amal.

“Jika niat mereka mahu mendirikan rumah amal, seharusnya mereka perlu mendapatkan surat kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bagi meyakinkan orang ramai menyumbang.

“Kita tidak mahu imej bersih Islam dipandang serong agama lain kerana menjalankan kegiatan meminta derma di bank dan stesen minyak bagi tujuan tertentu yang boleh mencemarkan agama,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment