Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Rampas mesin judi



SERI MANJUNG - Sebanyak 131 mesin judi berkomputer dirampas Jabatan Siasatan Jenayah (SJS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam 11 serbuan terkini sepanjang Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, semua serbuan yang dilakukan membabitkan 11 premis berlainan yang menjalankan kegiatan mesin perjudian.

Menurutnya, tumpuan serbuan itu juga selaras dengan status Manjung sendiri sebagai sebuah kawasan pelancongan di Perak.

“Dalam serbuan yang dibuat di sekitar daerah Manjung itu juga, kita telah berhasil menangkap 11 individu yang merupakan penjaga premis-premis yang diserbu dan juga seorang pemain.

“Sembilan daripada individu yang ditangkap merupakan lelaki Cina, manakala seorang lelaki India dan seorang lagi adalah lelaki warga Negara Vietnam,” katanya kepada media ketika ditemui di IPD Manjung, semalam.

Beliau berkata, selain mesin perjudian, polis turut melaksanakan Ops Noda yang memberi fokus serta tumpuan kepada tangkapan warga Negara asing terutama dari kalangan wanita.

Menurutnya, sebanyak lima serbuan dan pemeriksaan telah dilaksanakan sepanjang Jun lalu di premis-premis hiburan dan restoran sekitar daerah Manjung.

“Dalam serbuan yang dilakukan sepanjang bulan lalu, kita telah berjaya menangkap seramai 11 wanita warga Negara asing.

“Lapan daripada wanita yang ditangkap merupakan warga negara Vietnam, manakala tiga daripada mereka adalah warga negara Cina,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, polis juga telah mengeluarkan satu saman ke atas salah satu premis yang diserbu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.

Tegasnya, operasi ke atas kegiatan mesin perjudian haram serta Ops Noda akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan itu daripada berleluasa.
SH

No comments:

Post a Comment