Search This Blog

Saturday, July 16, 2011

Raja Azmi janji akan lebih berhati-hati

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, yang ditahan kali kedua berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar kejadian serupa tidak berulang lagi.

Raja Azmi yang ditahan semalam kerana gagal menghadirkan diri dalam perbicaraan di mahkamah berkata, beliau serik dengan kejadian itu dan akan lebih serius dengan setiap arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

"Kak Mi tidak tahu nak cakap apa lagi. Bukan Kak Mi sengaja buat hal, apa yang berlaku adalah kesilapan teknikal. Sijil cuti sakit (MC) telah diserah awal cuma tidak sampai ke tangan hakim.

"Lain kali, kalau terpaksa merangkak sekalipun Kak Mi akan pergi juga (ke mahkamah) kerana Kak Mi tidak mahu kejadian ditangkap berulang lagi," katanya yang membahasakan dirinya Kak Mi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun penerbit filem '...Dalam Botol' itu berkata, beliau tidak malu untuk berhadapan dengan orang ramai walaupun ditangkap lagi kerana gagal hadir perbicaraan.

Beliau yang membayar wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin selepas ditangkap semalam di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Kelang dekat sini berkata, setiap yang berlaku ada hikmah.

Kali pertama Raja Azmi ditangkap pada 19 Ogos tahun lalu di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya selepas beberapa kali tidak hadir ke perbicaraan membabitkan dirinya, suami, Jalani Sidek dan syarikat mereka, Equal Alliance Sdn. Bhd.

Katanya, setiap apa yang berlaku semuanya ada hikmah dan beliau beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga dan suami tercinta yang sentiasa berada di sisinya.

"Alhamdulillah, setakat ini keluarga sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada Kak Mi kerana mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Orang luar boleh membuat pelbagai anggapan tapi Kak Mi tidak kesal kerana ini jalan hidup yang Kak Mi pilih, sebagai orang seni. Jadi Kak Mi sedia maklum setiap apa yang berlaku akan menjadi perbualan umum," katanya tenang.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment