Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Punca kematian gagal dikesan



KEMAMAN – Hasil bedah siasat ke atas rangka manusia yang dipercayai warga emas Abdul Razak Abdullah, 75, mengesahkan si mati meninggal dunia dalam tempoh sebulan lebih yang lalu.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bagaimanapun hasil bedah siasat gagal mengenal pasti punca kematian disebabkan si mati sudah lama meninggal.

Justeru katanya, sampel tulang si mati akan dihantar ke jabatan kimia di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat ini (esok) untuk dianalis DNA sebagai pengesahan identiti si mati berdasarkan DNA yang dipercayai anak si mati.

Menurutnya, paling singkat keputusan DNA itu akan diketahui dalam tempoh seminggu, namun kebiasaannya keputusan diketahui dalam tempoh sebulan.

“Kita jalankan bedah siasat itu pagi tadi di Unit Forensik, Hospital Kuantan dan kira-kira jam 11.30 pagi ia dituntut oleh waris (anak si mati) untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Difahamkan, jasad Abdul Razak itu dikebumikan selepas waktu Asar semalam.

Sementara itu, rangka manusia yang masih tersusun ditemui dalam keadaan terlentang di bawah pondok usang yang dihuni si mati oleh dua pelajar Pondok Al-Mustaqim, Binjai ketika keluar mencari kayu api di kawasan kebun terbiar Kampung Batu 4, Binjai, di sini, lewat petang Isnin lalu.

Penemuan itu juga meleraikan misteri kehilangan Abdul Razak yang dikatakan sejak lebih sebulan lalu tidak dilihat penduduk sekitar kerana kebiasaannya dia sering dilihat menunggang basikal tua di sekitar Binjai.
SH

1 comment: