Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Peniaga durian ‘gigit jari’



PORT DICKSON – Seorang peniaga durian di tapak parkir hadapan sebuah bank di bandar Port Dickson, di sini terpaksa 'gigit jari' apabila semua barang perniagaannya dirampas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), kira-kira 4 petang, semalam.

Yang di-Pertua MPPD, Abd Wahab Shamsuddin berkata, peniaga tersebut didapati telah melanggar undang-undang MPPD iaitu di bawah Seksyen 4(5) Undang-undang Kecil Penjaja, Majlis Daerah Port Dickson yang mana dia berniaga bukan pada masa yang ditetapkan seperti tertera pada lesen perniagaan.

“Penguat kuasa MPPD telah mengeluarkan beberapa notis peringatan sebelum ini, namun peniaga masih ingkar dan tindakan tegas terpaksa dilakukan.

“Lesen meletakkan syarat perniagaan perlu beroperasi pada jam 5 petang dan ke atas, namun peniaga tersebut sebaliknya beroperasi lebih awal sekitar 12 tengah hari,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abd Wahab berkata, syarat berkenaan dikeluarkan kerana kawasan tapak niaga tersebut adalah kawasan parkir dan sering berlaku kesesakan lalu lintas, sekali gus mengundang rasa tidak selesa orang awam.

“MPPD mengutamakan keselesaan orang awam selain turut memberi peluang perniagaan kepada peniaga tersebut tetapi selepas waktu pejabat iaitu pada jam 5 petang,” katanya.

Katanya, kesalahan tersebut membawa kepada denda kompaun sebanyak RM250 dan rampasan barang perniagaan.

“Semua peniaga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang tertakluk kepada kelulusan lesen masing-masing dan MPPD akan melakukan tindakan tegas jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment