Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Pencuri buat ‘kerja’ dua kali



KULIM - Seorang lelaki 30 tahun yang baru balik bekerja kira-kira jam empat petang terkejut apabila mendapati rumahnya di Taman Makmur berada dalam keadaan berselerak.

Menurut mangsa, ketika dia membuat pemeriksaan mendapati komputer riba miliknya hilang.

Dia kemudiannya pergi ke bahagian belakang rumah dan menjumpai televisyen LCD 32 inci yang sebelum ini berada diruang tamu diletakkan di tepi pintu pagar.

Khuatir akan mengganggu siasatan polis ketika mengesan cap jari, mangsa kemudiannya membiarkan televisyen itu berada di situ.

Mangsa kemudiannya terdengar anak jirannya menjerit kerana ternampak suspek. Mangsa kemudiannya berlari ke hadapan rumah tetapi mendapati tidak ada sesiapa dan kemudiannya kembali ke pintu belakang rumah dan mendapati televisyen yang diletakkan di pagar belakang rumahnya sudah hilang.

Mangsa kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan.

Dari pemeriksaan dibuat, suspek dipercayai masuk melalui bumbung rumah, kerana terdapat kesan siling pecah.

Mangsa kemudiannya ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Pengerusi PPKM Khor Eng Khim berkata, suspek masuk ke rumah mangsa dua kali untuk mencuri tiga barang berasingan.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

“Sehingga kini, beberapa kejadian pecah rumah dilaporkan berlaku terutama pada waktu subuh. Saya menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati.

“Sekiranya orang ramai ternampak orang mencurigakan masuk ke kawasan taman, sila hubungi polis atau PPKM untuk bantuan segera,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment