Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Penangan ‘si warak’

SERDANG: Seorang lelaki warga emas dipercayai menggunakan ilmu pukau bagi menyamun seorang mangsanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Besi, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Wan, 38, seorang jurujual berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa selepas didatangi warga emas berusia 60-an itu yang tiba-tiba mengetuk cermin kenderaannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa menurunkan cermin kenderaannya lalu bertanyakan suspek jika memerlukan bantuan.

Menurutnya, suspek yang berkopiah dan berbaju Melayu putih meminta bantuan menghantarnya ke Jalan Hang Jebat untuk membuat kunci pendua teksinya.


Mangsa yang terus mempercayai suspek berikutan ketika itu terdapat teksi di belakang kenderaannya langsung tidak mengesyaki sebarang perkara buruk kerana warga emas itu kelihatan warak.


Sepanjang perjalanan, suspek memberitahu anaknya akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta sambil menunjukkan bungkusan di tangannya yang didakwa berisi RM3,000 sebagai deposit pembedahan berkenaan. “Suspek juga mendakwa berasal dari Rembau, Negeri Sembilan dan mengajar kelas mengaji al-Quran secara sambilan,” katanya.

“Saya hanya berniat menolongnya secara ikhlas, jadi langsung tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.


Sebaik tiba di destinasi dimaksudkan, suspek menyuruh mangsa menunggu sambil menepuk belakangnya.

Lima minit kemudian, suspek kembali dan meminta wang daripadanya dengan alasan tiada wang kecil lalu mangsa terus menyerahkan wang RM70, namun suspek menyatakan jumlah itu terlalu sedikit.


“Saya terus menyerahkan semua wang hasil jualan kepada suspek sebanyak RM250.


“Kemudian dia meminta telefon bimbit saya dan mendakwa mahu menambah nilai lalu mengarahkan saya menunggunya sambil menunjukkan jari ke arah bungkusan deposit pembedahan anaknya untuk meyakinkan saya sebelum beredar,” katanya.


Selepas lebih dua jam menunggu, kelibat lelaki itu tidak kelihatan dan mangsa mulai ragu lalu membuka bungkusan ditinggalkan suspek dan mendapati ia hanya mengandungi buku nombor ekor.


Mangsa juga cuba menghubungi telefon bimbit diserahkan kepada suspek dan mendapati ia dimatikan. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Penangan ‘si warak’

No comments:

Post a Comment