Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Pembonceng maut, nahas tiga kenderaan



KUANTAN - Seorang remaja maut selepas terbabit dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 17, Jalan Kuantan - Kemaman dekat Balok di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mangsa yang bekerja sebagai nelayan, Nor Quzairri Asha’ari, 18, dari Kampung Habib, Kuala Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai membonceng motosikal ditunggang rakanya, Mohd Fadhillah Razali, 20-an dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal dari arah sama.

“Akibat pergeseran itu, mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Kuantan ke Kemaman.

“Mangsa mati di tempat kejadian manakala rakannya patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” kata beliau ketika di temui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu kereta berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu pelancong dari Beserah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Turut terselamat penunggang sebuah lagi motosikal seorang pelajar berusia 18 tahun berasal dari Negeri Sembilan dia apabila hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka memakai topi keledar ketika kejadian dan penunggang mempunyai lesen memandu yang sah.

“Semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik namun laluan agak berselekoh dan bergaris kembar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
SH

No comments:

Post a Comment