Search This Blog

Sunday, July 31, 2011

Pelajar, guru diserang lebah

KUCHING 30 Julai - Sekumpulan 20 pelajar dan dua guru dari Sekolah Antarabangsa Lodge yang berkhemah di Kem Permai, Santubong dekat sini, cedera apabila diserang dan disengat ratusan ekor lebah.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kumpulan terbabit diserang ketika sedang menyediakan hidangan makan tengah hari menyebabkan mereka bertempiaran menyelamatkan diri.
Hampir semua daripada mereka disengat dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, dua pelajar mengalami kecederaan serius apabila disengat di seluruh badan. Salah seorang daripadanya pula menunjukkan tindak balas alergi namun dilaporkan tidak kritikal.
Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihaknya menggunakan semburan asap dan mengambil masa beberapa minit untuk menghalau kawanan lebah berkenaan.
"Lebah tersebut dipercayai terganggu dengan asap dan aroma daripada aktiviti membakar ayam 'pansuh' (ayam dalam buluh) kumpulan pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, dua guru pengiring kumpulan berkenaan enggan mengulas kejadian tersebut malah meminta semua pelajarnya supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

No comments:

Post a Comment