Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Pelajar dirogol rakan sendiri



PORT DICKSON – Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah Lukut di sini, membuat laporan polis selepas dirogol rakan sekolahnya di sebuah rumah kosong di taman perumahan di Lukut sekitar jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa yang berumur 15 tahun mendakwa dia dipaksa rakannya itu untuk melakukan hubungan seks.

“Suspek yang juga berumur 15 tahun ditahan reman sehingga Jumaat depan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, semalam.

Dalam satu kejadian berasingan, Baljeet berkata, seorang wanita berumur 20 tahun, kelmarin, membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol kekasihnya yang berumur 43 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa dipaksa minum minuman dipercayai dicampurkan dengan sejenis pil khayal ketika makan di sebuah kedai sebelum dirogol di bilik salah sebuah hotel di Telok Kemang di sini.

“Kejadian berlaku pada April lalu dan mangsa membuat laporan polis selepas mendapati dirinya sudah mengandung.

“Suspek berjaya ditahan reman sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan dan kedua-dua mereka bukan penduduk Port Dickson dan hanya datang ke sini untuk bercuti,” katanya.

Difahamkan, statistik laporan berkenaan kes rogol dari Januari sehingga 3 Julai tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Sebanyak 16 laporan ke rogol dicatatkan pada tahun ini berbanding sebanyak 12 kes pada tahun lalu dan kebanyakan mangsa adalah di bawah umur serta suspek juga dikenali mangsa.

Sementara itu, Baljeet berkata, satu pendekatan holistik perlu diambil oleh semua pihak dalam menangani masalah ini secara tuntas sebelum keadaan menjadi semakin teruk.

“Ibu bapa terutamanya perlu memainkan peranan mereka untuk memantau pergerakan anak serta aktiviti mereka dalam semua perkara dan tidak melepaskan tanggungjawab itu semata-mata kepada pihak ketiga seperti sekolah,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment