Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Pegawai Imigresen ditahan ISA



KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen dan seorang lelaki warga Sri Lanka ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pegawai kerajaan yang berumur 29 tahun dan bertugas di Pusat Tahanan KLIA ditahan di pusat tahanan sementara itu.

Katanya, lelaki warga asing berumur 36 tahun juga ditahan di tempat sama.

“Suspek dipercayai memalsukan dokumen dan tindakannya ini boleh memudaratkan keselamatan negara,” katanya.

Sebelum ini, enam pegawai jabatan itu juga ditahan di bawah akta sama kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia melalui KLIA.

“Siasatan untuk menyiasat penglibatan suspek dengan tangkapan sebelum ini sedang giat dilakukan. Saya percaya polis dapat melumpuhkan aktiviti sindiket ini dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table Polis Diraja Malaysia (PDRM) siri 1/2011, semalam.

Pada majlis itu, Balai Polis Wangsa Maju merangkul tempat pertama dalam kategori A, diikuti Balai Polis Jinjang dan Balai Polis Batu 9.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan Peguam Perancis, William Bourdon di tahan di KLIA mengikut Akta Imigresen.

William dipercayai ditahan Jabatan Imigresen selepas tiba dari Pulau Pinang di mana beliau mendedahkan tentang urus niaga pembelian kontroversi pembelian kapal selam Scorpene milik negara, malam kelmarin.
SH

No comments:

Post a Comment