Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Pasar raya musnah terbakar



SUNGAI UDANG - Sebuah pasar raya di Jalan Desa Taming Sari, di sini musnah dalam kebakaran, petang semalam sehingga membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 petang itu, seluruh empat lot Pasaraya Ten Ten yang menjual pelbagai barangan keperluan harian hangus, ketika umat Islam berpusu-pusu menunaikan solat Jumaat.

Ketika kejadian, seramai 40 orang pekerja dan pelanggan yang berada dalam bangunan dua tingkat itu berjaya menyelamatkan diri dari kebakaran yang dikatakan bermula dari bahagian tengah pasar raya tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R Ezhumalai berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 51 minit.

“Bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.20 petang dan tiba selepas 12 minit kemudian. Namun ketika itu bomba Tentera Darat (TD) telah sampai dan menjalankan kerja-kerja memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dikawal sepenuh 51 minit kemudian dan padam kira-kira jam 3.45 petang dengan bantuan enam jentera dari Tangga Batu, Masjid Tanah, Jalan Kubu dan TD dengan kekuatan 45 anggota dan pegawai termasuk TD dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Ezhumalai berkata, pihaknya juga berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah stesen minyak terletak kira-kira 18 meter dari pasar raya berkenaan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati ia berpunca dari bahagain tengah yang menempatkan pakaian dan beg dalam pasar raya ini,” katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Sementara itu, Pengurus Zon Selatan pasar raya terbabit, Chan Ah Hok berkata, semasa kejadian, beliau berada di Tangkak, Johor dan bergegas ke pasar raya itu apabila dimaklumkan oleh seorang pekerjanya kira-kira 1.30 petang.

“Ketika kejadian, pekerja pasar raya mengarahkan orang ramai yang sedang membeli-belah supaya keluar menyelamatkan diri.

“Pasaraya yang telah beroperasi sejak lima tahun ini dianggaran membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment