Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Nyaris ditipu ASP Chong



PUCHONG – Tidak sampai seminggu seorang wanita mendakwa dirinya ditipu lelaki yang menyamar sebagai Asisten Superintenden (ASP) Foo sehingga kerugian RM13,000, semalam seorang lelaki pula mendakwa nyaris ditipu lelaki sama namun kali ini menyamar sebagai ASP Chong.

Menggunakan modus operandi sama iaitu mendakwa si penerima panggilan melakukan jenayah komersil, lelaki yang menghubungi mangsanya akan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Mangsa, S L Phang, 61, berkata, pagi semalam dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali menggunakan talian telefon tetap memaklumkan dua lelaki sudah ditahan kerana menggubal wang haram di Hong Kong.

Menurutnya, ASP Chong palsu itu memaklumkan kes itu berhubung kait dengan dirinya kerana akaun bank simpanan yang dibuka menggunakan namanya.

“Dia memaklumkan saya terbabit dengan kes ‘black money’ dan menyuruh saya menghubungi satu nombor telefon dipercayai nombor talian luar negara.

“Saya tidak mengikuti arahannya kerana bimbang apa-apa terjadi dan memaklumkan akan ke Bukit Aman sendiri untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya.

Mendengar jawapan itu, Phang berkata, lelaki terbabit kemudian menyuruhnya menghubunginya terlebih dahulu sebelum ke Bukit Aman.

“Bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku, saya kemudian mengadukan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan Puchong untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, beliau sudah menghubungi JSJK Bukit Aman dan dimaklumkan tiada pegawai polis bernama demikian.

“Semalam ada lagi mangsa cuba ditipu namun bernasib baik kerana belum memindahkan apa-apa wang kepada si pemanggil. Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan terus berhubung dengan Bukit Aman di talian 03-22662222 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment