Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Maut terseret 600 meter



MELAKA - Salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 197.9, Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi semalam, tidak menyangka ada mangsa maut dan tercampak sehingga 600 meter dari tempat kejadian.

Mohd Faizal Shamsuri, 27, berkata, dia ternampak sebuah van remuk di laluan tengah, sebelum menyedari beberapa kenderaan lain turut terlibat.

“Saya ingat hanya dua orang sahaja yang menaiki van berkenaan, tidak sangka pula ada seorang lagi tercampak jauh dari tempat kejadian.

“Tidak dapat dipastikan sama ada van berkenaan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain atau pun ia terbabas di pembahagi jalan, namun melihat keadaan mangsa yang tercampak jauh, besar kemungkinan dia diseret kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Batu Pahat sebelum terlibat dalam kemalangan itu, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi, menghala ke selatan.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Mohd Yusoff, 26, berasal dari Kangar, Perlis.

“Siasatan awal polis mendapati, van yang dinaiki mangsa bersama dua rakannya dari Selangor, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas di pembahagi jalan.

“Mangsa yang meninggal dunia dipercayai tercampak keluar dari kenderaannya dan parah di badan serta kepala,” katanya.

Umar berkata, seorang lagi mangsa yang menaiki van terbabit, Ali Johar, 42, mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Melaka.

“Sementara itu, pemandu van berkenaan, Mohd Syukur Mohd Derus, 42, hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan ini, membabitkan tujuh lagi mangsa lain namun mereka hanya :mengalami cedera ringan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment