Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Mahasiswi jual komputer curi



PORT DICKSON – Polis berjaya menahan tiga mahasiswi daripada salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor, pagi Rabu lalu kerana didakwa menjual dua komputer riba curi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, polis turut berjaya menahan tujuh remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun pada hari yang sama selepas didapati terbabit sebagai pembekal komputer riba berkenaan.

“Kesemua remaja tersebut merupakan mereka yang keciciran dalam persekolahan dan ditahan di sekitar Telok Kemang sementara ketiga-tiga mahasiswi yang berusia antara 20 dan 22 itu ditahan di IPTA.

“Mahasiswi terbabit telah menjual komputer riba tersebut kepada rakan-rakannya di universiti berkenaan dengan harga RM650 dan RM800 setiap satu.

“Sementara tujuh remaja terbabit berjaya ditahan polis di sekitar Telok Kemang pada lokasi yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian.

Baljeet berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dengan kejadian curi komputer riba oleh sekumpulan remaja tersebut.

“Mangsa pertama melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga merupakan pekerja di sebuah kopitiam di Batu 4. Mangsa merupakan seorang warganegara Indonesia dan kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang, Selasa lalu.

“Kira-kira dua jam kemudian, sekumpulan remaja tersebut didapati melakukan kegiatan sama mencuri komputer riba milik seorang penuntut Politeknik Port Dickson berusia 20 tahun di sekitar kawasan kampus berkenaan,” katanya.

Baljeet berkata, salah seorang daripada remaja terbabit kemudiannya bertindak menyerahkan kedua-dua komputer riba tersebut kepada kakaknya yang sedang menuntut di sebuah IPTA di Banting untuk dijual.

“Komputer riba berkenaan telah dijual dengan harga RM650 dan RM800 setiap satu,” katanya.

Baljeet menambah, ketiga-tiga mahasiswi telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala tujuh remaja tersebut ditahan sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa kesemua remaja terlibat tidak mempunyai rekod jenayah lampau, tetapi polis akan memeriksa jika ia telah terbabit dalam sebarang salah laku yang tidak dilaporkan,” katanya.

Polis sedang menyiasat kes di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan.
SH

No comments:

Post a Comment