Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Lumpuh ditetak perompak



KUALA LUMPUR – Kecederaan yang dialami akibat bergelut dengan penjenayah ketika menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan setahun lalu membuatkan seorang pemuda gagal mendapat pekerjaan sehingga kini.

Prakash, 36, berkata, tangan kirinya kini lumpuh setelah ditetak perompak di tempat kerjanya dan turut mengenai bahagian urat mengakibatkan dia tidak mampu menggunakan kudrat bahagian terbabit.

Menurutnya, disebabkan itu sehingga kini dia gagal mendapatkan sebarang pekerjaan dan hanya bergantung hidup dengan wang persaraan bapanya.

“Tempat kerja lama juga sudah tidak mahu menerima saya bekerja kerana ketidakmampuan fizikal saya,” katanya ketika lawatan Persatuan Kebajikan Sesama Warga Kuala Lumpur (Sesama) di rumahnya di Blok 100, PPR Seri Pantai di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Sesama, Raymond Suppiah berkata, dengan keadaan ibu bapa Prakash yang sudah tua dan memerlukan perhatian, dia memerlukan pekerjaan untuk perbelanjaan harian mereka.

Katanya, wang persaraan bapanya tidak mencukupi untuk menampung kos hidup di bandar dan perubatan ibunya yang juga mengalami lumpuh separuh badan.

“Dengan keadaan ibunya yang juga lumpuh, tidak mampu bergerak sendiri, keluarga ini amat memerlukan perhatian yang sewajarnya oleh mana-mana agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

Timbalan Presiden Sesama, M Parthiban berkata, dalam hal terbabit, dia meminta jasa baik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turun padang melihat sendiri keadaan keluarga berkenaan untuk dipertimbangkan sebarang bantuan mengikut kelayakan mereka.

Katanya, Sesama sebagai orang tengah hanya membantu menguruskan sebarang kes mahupun permohonan mana-mana keluarga yang memerlukan perhatian dan keputusan sama ada mereka layak mahupun tidak bergantung kepada JKM.

“Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kepada JKM kerana memberi kerjasama yang baik dengan memantau kes yang dirujuk untuk tindakan lanjut,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment