Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Lima lelaki ditahan kes curi



BALIK PULAU – Lima lelaki ditahan pihak polis kerana menyebabkan kehilangan 275 aluminium magazin bernilai RM 33,000 yang diisi ke dalam 25 buah kotak di stor kilang Jalan Batu Maung, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Him berkata, dalam kejadian pada 13 Julai lalu, seorang daripadanya merupakan sebahagian daripada tiga hingga empat lelaki memecah masuk dengan memanjat tembok stor dan memotong pagar dawai belakang kilang.

“Aluminium magazin itu biasanya digunakan untuk pemasangan audio kenderaan dan bernilai RM120 setiap satu dan akan dieksport ke Amerika Syarikat.

“Kesemua kotak itu diangkut sedikit demi sedikit menggunakan motosikal dan dijual kepada premis barang lusuh tanpa lesen di Batu Maung dengan harga RM 1,190 sahaja,” katanya.

Fah Him berkata, suspek berusia 16 tahun itu ditangkap di Lintang Batu Maung 4 dan mengaku mencuri kesemua kotak berisi aluminium magazin itu bersama tiga lagi lelaki yang masih bebas.

“Suspek yang tidak bersekolah turut mengaku terlibat dalam kes kecurian barangan besi dan aluminium di sebuah kilang di Batu Maung pada 4 Jun lalu yang melibatkan kerugian sebanyak RM 200,000,” katanya.

Fah Hin berkata, empat lelaki berusia lingkungan 16 sehingga 43 tahun yang merupakan pengusaha dan pekerja premis barang lusuh berjaya ditahan hasil soal siasat yang dijalankan.

“Pihak polis turut merampas 262 aluminium magazin, sebuah motosikal dan sebuah topi keledar.

“Kesemua suspek merupakan penduduk tempatan dan seorang daripadanya memiliki dua kesalahan lampau iaitu kecurian dan curi motosikal.

“Bagaimanapun, keempat – empatnya bebas dadah melalui ujian saringan air kencing,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 411 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati pihak pengurusan memasang lampu sorot sekiranya lokasi kilang terletak di kawasan yang sunyi dan gelap.

“Walaupun stor itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun kawasan gelap memberi peluang kepada jenayah untuk memecah masuk dan mencuri barangan yang ada,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment