Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Lima diberkas, seorang diburu



PORT DICKSON – Pasukan polis Port Dickson berjaya memberkas sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dengan dua kes samun di Rumah Jagaan Orang Tua Jimah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh berkata, kesemua suspek melibatkan lima lelaki berusia antara 30 hingga 35 tahun.

“Suspek berjaya diberkas Ahad lalu di sekitar Lukut dan Chuah pada waktu berasingan.

“Suspek ditahan reman hingga Ahad depan bagi membantu siasatan polis dan kesemua mereka adalah warga tempatan serta bekerja sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baljeet berkata, siasatan masih dijalankan sama ada suspek mempunyai jenayah lampau atau tidak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Menurutnya, pihak polis menggandakan lagi usaha untuk memburu seorang lagi suspek lelaki dipercayai turut terlibat dalam kes sama.

Terdahulu, Rumah Jagaan Orang Tua Jimah pada 6 Jun lalu sekitar jam 4.30 pagi di pecah masuk oleh empat lelaki bersenjatakan parang.

Kerugian mencecah RM6,000 dan seorang penghuni rumah kebajikan tersebut mengalami kecederaan akibat dilibas dengan parang oleh suspek.

Genap sebulan kemudian iaitu pada 6 Julai lalu, kejadian hampir sama berulang melibatkan sekumpulan lagi lelaki dengan memakai penutup muka dan bersenjatakan parang merompak rumah kebajikan tersebut.

Rumah kebajikan itu menempatkan 14 penghuni di dorm lelaki dan 10 penghuni di dorm wanita.

Namun, hanya penghuni lelaki menjadi mangsa. Kejadian pada 6 Jun lalu adalah kali pertama berlaku sejak ditubuhkan pada 1978.
SH

No comments:

Post a Comment