Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Kren 60 tan hempap stesen KTM



Bumbung Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishammuddin, roboh setelah dihempap oleh sebuah kren mengangkat papan tanda yang terbalik, semalam. - MINGGUAN/ MOHD NOOR AMIN


KUALA LUMPUR 16 Julai - Sebuah kren seberat 60 tan yang digunakan untuk mengangkat papan iklan tumbang dan menimpa bumbung kabel elektrik tren di Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishamuddin di sini tengah malam tadi.

Kren tersebut yang sedang dikendalikan oleh beberapa pekerja dikatakan berada pada kedudukan tidak stabil sebelum tumbang dan menimpa bumbung di platform 2, 3 dan 4 stesen kereta api itu.

Berikutan insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.44 tengah malam itu, semua perkhidmatan tren yang melalui stesen tersebut mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan untuk kerja baik pulih.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

"Semua perkhidmatan tren yang melalui Stesen Keretapi Kuala Lumpur mengalami gangguan ekoran insiden kren terbalik di Kilometer 387, iaitu platform 4 stesen ini.

"Gangguan dijangka berakhir sehingga hari Isnin ini selepas kerja-kerja pengalihan struktur, pembersihan dan pemasangan semula kabel-kabel yang rosak selesai dalam tempoh dua hari.

"Insiden itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak ketiga ketika melakukan kerja-kerja menanggalkan papan iklan dan tiang unipole berkenaan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan bas disediakan bermula pukul 6 pagi hingga 11.45 malam bagi membawa penumpang dari laluan stesen Bank Negara, stesen Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral). Contohnya, penumpang dari Tanjung Malim ke Seremban akan berhenti di Bank Negara menaiki bas sebelum dibawa ke KL Sentral untuk meneruskan perjalanan ke Seremban.

Pengguna tren elektrik (ETS) menghubungkan Kuala Lumpur ke Ipoh boleh menaiki bas yang disediakan untuk ke stesen Bank Negara sebelum meneruskan perjalanan ke stesen Sentul menggunakan perkhidmatan komuter.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment