Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Juru ukur ditemui mati lemas



KERAYONG – Gara-gara tidak sabar menunggu rakan setugas mendapatkan perahu untuk menyeberangi tebing Sungai Triang, seorang juru ukur dipercayai mati lemas ketika mengharungi sungai itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin, mangsa, Muhammad Fauzi Muhamad Rosely, 31, dikatakan cuba mengharungi sungai itu untuk ke tebing selepas menjalankan tugas mengukur tanah di tebing sungai bersama dua rakannya yang lain.

Namun, malang tidak berbau apabila mangsa tiba-tiba tergelincir di bahagian tengah sungai dan tenggelam di kawasan tersebut.

Mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Kelulut, Temerloh meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing berusia empat dan dua tahun.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7 petang daripada orang awam.

Menurutnya, seramai 12 anggota polis dan 12 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian susulan gerakan mencari mangsa.

“Gerakan mencari mangsa dimulakan pada jam 7.30 hingga 11 malam oleh semua anggota polis dan bomba terlibat termasuk beberapa orang kampung yang turut membantu.

“Namun, gerakan mencari pada waktu malam terhad berikutan cuaca semakin gelap,” katanya.

Mohd Zahid berkata, gerakan mencari dimulakan semula jam 6 pagi sehingga mayat ditemui pada jam 10 pagi oleh pasukan skuba bomba.

Menurutnya, mayat mangsa tersangkut di bawah sebatang kayu besar berdekatan dengan tebing sungai berdekatan Kampung Paya Pagar.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk tindakan susulan.
SH

No comments:

Post a Comment