Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Dua penjenayah kes samun bersenjata ditahan

PETALING JAYA : Polis Selangor berjaya mencekup dua lelaki dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun bersenjata dalam dua tangkapan berasingan di Lembah Klang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek pertama berusia 26 tahun itu ditahan di kawasan Wangsa Permai, Desa Jaya dalam tempoh 24 jam selepas menyamun seorang mangsa di Sri Damansara.


Menurutnya, selepas mangsa berusia 25 tahun itu membuat laporan pada petang Rabu, anggota polis mula menjejaki suspek dan menahannya yang pernah bekerja sebagai ‘bouncer’ disko sebelum ini.

Katanya, semua barangan milik mangsa berjaya ditemui semula.


“Polis turut merampas sepucuk pistol dan lima butir peluru hidup dalam pemeriksaan lanjut di rumah suspek. Selain itu, suspek juga didapati positif dadah ketika ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.


Susulan tangkapan pertama, katanya, berdasarkan maklumat orang awam, seorang lagi suspek samun bersenjata yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dicekup di Bandar Utama, di sini kira-kira jam 7.30 malam.

“Suspek berusia 39 tahun ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyebabkan kecederaan.


“Kami juga berjaya merampas sepucuk pistol bersama 11 butir peluru milik suspek dipercayai digunakan ketika menyamun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius jenayah samun bersenjata dan sejak awal tahun lalu, sebanyak 72 kes samun bersenjata direkodkan di Selangor.


“Kami juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek ini menjalankan kegiatan jenayah mereka secara bersendirian atau melalui sindiket masing-masing.


“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kaitan dan melakukan kegiatan jenayah secara berasingan,” katanya.

myMetro | Dua penjenayah kes samun bersenjata ditahan

No comments:

Post a Comment