Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

Dua kali lapor polis

SHAH ALAM: “Saya hubungi peguam Pathma dan tanya di mana Sosilawati. Saya katakan anak sudah buat laporan polis berhubung kehilangannya dan dia terpaksa bertanggungjawab,” kata bekas suami kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Buhari Mohamed, 62, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Buhari berkata, pada kira-kira jam 11 pagi, 2 September 2010, dia menghubungi N Pathmanabhan yang pernah ditemui pada 2008 berhubung urusan jual beli tanah, sebelum membuat laporan polis kali kedua berhubung kehilangan Sosilawati. “Saya masih ingat suara dia. Saya kenalkan diri sebagai Buhari Gudang Garam. Saya tanya di mana Sosilawati sebab dia pergi berjumpanya pada 30 Ogos 2010 hingga sekarang tidak balik-balik. Saya beritahu anak sudah buat laporan polis dan dia terpaksa bertanggungjawab. “Ketika itu Pathmanabhan beritahu Sosilawati baik dan berniaga bersama-sama, macam mana boleh hilang? Saya tidak memberi sebarang komen terhadap apa yang dia kata,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.


Terdahulu, Buhari seorang peniaga yang juga saksi pendakwaan ke-24, memberitahu mahkamah dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Erni Erinawati Sofia, 22, pada jam 10 pagi, 31 Ogos tahun lalu memaklumkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas keluar ke Banting menemui Pathmanabhan.

ISHAK: Selepas Sofia menghubungi kamu memaklumkan perkara itu, apa tindakan kamu? BUHARI: Saya tanya dia ‘mak’ (Sosilawati) pergi mana? Dia maklumkan pergi ke Banting untuk urusan jual beli tanah dengan peguam Pathma. Saya kata saya kenal peguam itu dan tahu di mana pejabatnya. Saya minta dia (Sofia) datang jemput saya di Selayang dan selepas itu terus ke Banting. Ketika itu saya beberapa kali cuba menghubungi Sosilawati, tetapi gagal. Saya kemudian menghubungi Erni Dekritawati Yuliana (Rita) dan dia maklumkan berada di Shah Alam. Saya minta dia tunggu di hadapan Hospital Klang.


ISHAK: Tahu apa dia (Rita) buat di Shah Alam? BUHARI: Dia mahu pastikan kereta Noorhisham (Noorhisham Mohammad, pegawai bank CIMB) masih ada di situ dan ya memang masih ada di situ. Saya kata tidak mengapa, ia bermakna mereka masih tidak balik, oleh itu kami terus ke Banting mencari pejabat Pathmanabhan. Kami pergi dua kereta. Saya tidak ingat alamat, tetapi saya pernah pergi ke pejabatnya di jalan besar, Jalan Abdul Samad, arah ke Morib.


ISHAK: Ada kamu jumpa? BUHARI: Selepas hampir dua hingga tiga jam mencari, kami tidak menjumpainya. Oleh kerana ketika itu Ramadan, kami bertolak balik ke Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang. Saya berbincang dengan anak-anak dan setuju membuat laporan polis. Selepas laporan polis pertama tidak memberi hasil, kami membuat laporan kedua.

ISHAK: Tadi kamu kata ada mempunyai nombor telefon Pathmanabhan , tetapi kenapa kamu tidak hubungi dia terus dan tidak perlu ke pejabat di Banting? BUHARI: Ya, pada 2008, saya mempunyai dokumen perjanjian jual beli tanah dengan Pathmanabhan. Saya ada catatkan nombornya pada muka depan dokumen itu, tetapi pada hari saya pergi mencarinya saya terlupa membawanya.


ISHAK: Kamu kata ada berjumpa Pathmanabhan pada 2008. Jika ditunjukkan boleh kamu cam? Ada dia di dalam mahkamah? BUHARI: Boleh. (Selepas itu Buhari berdiri dan memandang ke arah kandang tertuduh dan menunjukkan ke arah tertuduh pertama yang memakai kemeja berwarna putih).

ISHAK: Di mana kamu berjumpa Pathmanabhan? BUHARI: Di pejabatnya di Banting, Selangor.


ISHAK: Siapa lagi ketika itu? BUHARI: Saya bersama Sosilawati.


ISHAK: Kenapa Sosilawati meminta kamu mengikutnya berjumpa Pathmanabhan, sedangkan ketika itu kamu sudah bercerai? BUHARI: Saya mempunyai hubungan baik dengan Sosilawati dan anak-anak walaupun selepas bercerai. Sosilawati meminta saya mengikutnya ke Banting kerana mahu saya melihat dokumen perjanjian yang dia buat dengan Pathmanabhan. Ia untuk kepastian sama ada perjanjian itu betul atau tidak. Dia (Sosilawati) tahu saya mempunyai pengetahuan serba sedikit berhubung perjanjian sebab saya pernah menjadi pengurus dua bank.


ISHAK: Boleh beritahu mahkamah bagaimana suasana perbincangan? BUHARI: Agak hangat kerana saya banyak komen mengenai perjanjian itu, tetapi Pathmanabhan kata dia peguam dan dia tahu prosedurnya. Sementara itu ketika menjawab soalan peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Buhari memberitahu mahkamah Sosilawati ada memaklumkan duit deposit dibayar kurang daripada 10 peratus seperti perjanjian, bagaimanapun tidak pasti jumlahnya sama ada RM1.2 juta atau RM1.25 juta.

myMetro | Dua kali lapor polis

No comments:

Post a Comment