Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Ditahan selepas menyamun



PETALING JAYA – Tidak sampai tempoh 24 jam melakukan samun, bekas pengawal keselamatan sebuah kelab dicekup polis di rumahnya di Apartmen Saujana Ria, Taman Wangsa Permai, Desa Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum penahanan dibuat, suspek lelaki berusia 26 tahun itu meragut seorang wanita kira-kira jam 10 pagi di tempat letak kereta di Sri Damansara.

Beliau berkata, suspek menghampiri mangsa yang dipercayai hendak ke tempat kerja sebelum mengacu pistol ke arahnya.

Katanya, mangsa terpaksa menyerahkan wang tunai RM200, telefon bimbit, kad bank termasuk komputer riba kepada suspek itu yang kemudiannya melarikan diri.

“Selepas siasatan dijalankan susulan laporan dibuat mangsa, kita kemudiannya dapat kesan suspek dalam tempoh 24 jam sebelum menahannya di rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemui semua barangan mangsa yang disamun. Kita turut rampas sepucuk pistol bersama lima butir peluru dipercayai senjata api yang digunakan ketika menyamun mangsa,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Mohd Adnan berkata, semakan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes samun di Lembah Klang.

“Bagi tempoh Januari lalu sehingga kelmarin, kita terima laporan sebanyak 72 kes berkaitan samun melibatkan senjata api di Selangor. Kita percaya suspek itu terbabit dalam sebahagian daripada kes tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan Mohd Adnan berkata, seorang pengawal keselamatan berusia 39 tahun ditahan pihaknya kerana memiliki senjata api.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan orang awam, sebelum polis menahan suspek lelaki itu di kawasan Kayu Ara, di sini, kelmarin.

Katanya, susulan penahanan itu polis menyerbu rumah suspek di Bandar Utama dan menemui sepucuk pistol.

Mohd Adnan berkata, kedua-dua kes disiasat polis mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api.
SH

No comments:

Post a Comment