Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Direman belasah anak



KUALA TERENGGANU - Bapa durjana! Itulah panggilan selayaknya diberikan kepada seorang pemandu di salah sebuah jabatan kerajaan yang sanggup mendera anak kandungnya sendiri tanpa belas kasihan dalam satu kejadian di kediaman mereka di kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa yang berusia sembilan tahun sedang bermain bersama abangnya, 13, di kawasan luar rumah mereka.

“Semasa sedang bermain, mangsa dipanggil bapanya, 50, masuk ke dalam rumah, tetapi beberapa minit kemudian, mangsa menjerit kesakitan meminta pertolongan abangnya yang ketika itu masih berada di luar rumah.

“Terkejut dengan jeritan mangsa, abangnya terus meluru masuk ke dalam rumah dan melihat adiknya sedang dibelasah bapanya menggunakan tali pinggang tanpa belas kasihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, tidak sanggup melihat adik bongsunya dilakukan sedemikian rupa, anak ketiga daripada empat beradik itu nekad melawan bapanya dan bermulalah ‘perang mulut’ di antara dua beranak itu.

“Takut bapanya bertindak lebih kejam, dia terus membawa adiknya melarikan diri ke rumah bapa saudaranya yang terletak di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Melihat keadaan mangsa yang mengalami kecederaan agak serius pada bahagian badan, kepala dan telinga kanan, bapa saudaranya terus membawa mangsa ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan susulan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, abang mangsa bersama bapa saudaranya telah membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga sehari selepas kejadian kira-kira jam 10.40 pagi.

“Suspek ditahan pada jam 3.45 pagi semalam di rumahnya dan akan direman selama tujuh hari bermula semalam. Tali pinggang yang dipercayai digunakan memukul mangsa turut dirampas,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang sudahpun berkahwin lain telah melakukan perbuatan kejam itu sejak empat tahun lalu iaitu selepas kematian isterinya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak.
SH

No comments:

Post a Comment