Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Dihukum penjara lima tahun



KUANTAN- Seorang pembantu gerai menjual karipap dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan merompak seorang lelaki dan merampas wang tunai RM50 di tempat awam, awal Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Hayyum Qayyum Rosli, 21 dari Kampung Tengah di sini sebelum itu merayu supaya hanya diletakkan di bawah pengawasan bagaimanapun Hakim Nor Adidah Ahmad menolak memandangkan kes tersebut serius dan hukuman penjara adalah wajib.

Selepas dimaklumkan mahkamah, dia boleh dihukum penjara hingga 14 tahun atas kesalahan itu, tertuduh memilih hukuman penjara selama 12 tahun bagaimanapun segera menukar tempoh itu kepada hanya tiga tahun.

Nor Adidah berkata, tertuduh patut dikenakan hukuman yang lebih berat memandangkan kesalahan yang dilakukan itu serius.

Bagaimanapun mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah, tiada rekod lampau, kesalahan pertama dan faktor usianya yang masih muda, Nor Adidah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula dari tarikh tangkap.

Menurutnya, tertuduh yang masih muda dan tidak sepatutnya terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ini.

“Kamu berpura-pura minta duit, bila orang nak bagi kamu rampas dan ugut mangsa dengan pisau sehingga menimbulkan ketakutan kepadanya.

“Saya harap kamu insaf dan jadikan kes ini sebagai yang pertama dan terakhir. Jangan habiskan usia muda kamu keluar masuk penjara,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan pendakwa Raya, Amer Abu Bakar, tertuduh didakwa menghampiri mangsa ketika berada di stesen bas awam, Jalan Pasar sebelum berpura-pura meminta wang.

Tertuduh bertindak merampas beg duit mangsa dan mengambil RM50 yang berada di dalamnya.

Mangsa meminta wang itu dipulangkan bagaimanapun tertuduh enggan dan bertindak mengugut lelaki itu menggunakan sebilah pisau.
SH

No comments:

Post a Comment