Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Cubaan curi gaharu gagal



BENTONG – Seramai lapan warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun ditahan ketika cuba membawa keluar kepingan pokok gaharu dari Hutan Simpang Lentang dekat sini.

:Pegawai Penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri, Ramlee Ahmad berkata, kira-kira jam 9 pagi kelmarin, dua pengawas hutan menjalankan rondaan biasa di sekitar kawasan ini.

Menurutnya, mereka kemudiannya terserempak dengan lapan lelaki yang sedang membawa beg dan guni dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, beg yang dibawa mengandungi kepingan pokok gaharu dan juga beberapa alatan mencari gaharu.

“Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut sama ada aktiviti mereka itu mendapat kebenaran atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramlee berkata, namun selepas siasatan dijalankan, pihaknya mensyaki, kesemua warganegara Vietnam yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah itu tidak mempunyai kebenaran mengambil hasil hutan.

Menurutnya, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong untuk direman bermula 21 Julai hingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan) 1993 atas kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 20 tahun,” katanya.

Ramlee berkata, anggaran berat beg yang dipenuhi kepingan gaharu dibawa mereka semua ialah lebih kurang 140 kilogram dan ia dikenal pasti sebagai gaharu gred C.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti mengambil hasil hutan tanpa kebenaran diminta menghubungi Pejabat Hutan berhampiran.
SH

No comments:

Post a Comment