Search This Blog

Saturday, July 16, 2011

Bukan dibunuh, bukan bunuh diri

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed didakwa tidak membunuh diri dan tidak dibunuh, sebaliknya terjatuh ketika hendak keluar secara senyap menerusi tingkap di tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

Itulah kesimpulan yang dibuat oleh pegawai penyiasat tempat kejadian jenayah (CSI), Deputi Supritendan Polis (DSP) Sharul Othman Mansor berhubung misteri kematian Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM yang terletak di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu.

Saksi dari Makmal Forensik Bukit Aman itu dipanggil semula ke Mahkamah Koroner hari ini bagi mendapatkan keterangan berhubung penemuan siasatannya.

Menurut Sharul, tiada sebarang pergelutan berlaku sebelum Ahmad Sarbaini terjatuh, kerana melalui pemeriksaan kasar, tiada kecederaan ditemui pada mayatnya, hanya luka kecil di dahi dan banyak darah keluar dari hidung serta telinga lelaki itu.

''Jika ada pergelutan, tanda kotoran di pantri mungkin lebih banyak seperti cap jari, tapak kasut, kesan koyakan pada baju atau butang tercabut.

''Saya bersetuju jam yang dipakai Ahmad Sarbaini tercabut adalah perkara biasa bagi orang yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi,'' katanya ketika disoal oleh peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Saksi itu yang kerap mengendalikan kes mangsa jatuh dari tempat tinggi juga percaya, Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap secara senyap dan perlahan-lahan kerana tidak mahu diketahui oleh sesiapa.

''Saya percaya dia tidak keluar dalam keadaan tergesa-gesa, tingkap di sebelah kiri dipilih kerana ia paling dekat dengan bumbung dan sinki di sebelah tingkap itu diperlukan sebagai tempat bertenggek.

''Saya bersetuju berdasarkan saiz badan Allahyarham, dia boleh keluar menerusi tingkap tersebut dan tingkap paling kiri dipilih kerana ia paling hampir dengan bumbung,'' katanya lagi.

Menurutnya, pendapat itu diberikannya berikutan kedudukan mayat di gelanggang badminton dengan bucu tingkap di Aras 3 bangunan itu lebih kurang satu meter.

Prosiding inkues menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor yang meninggal dunia di gelanggang badminton di pejabat SPRM itu masuk hari ke-10 hari ini.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa secara menyeluruh, cara Ahmad Sarbaini jatuh adalah konsisten dengan jatuhnya seseorang dari tempat yang tinggi.

Peguam yang mewakili keluarga lelaki itu, Awtar Singh pula mempersoalkan sekiranya Ahmad Sarbaini jatuh dengan kakinya dahulu, sepatutnya mayatnya terlentang dan bukan tertiarap seperti kejadian itu.

Menurut Sharul, dia percaya sebelum terjatuh, badan Ahmad Sarbaini menghadap ke pantri, kemudian jatuh dengan kaki dahulu dan seterusnya terhempap ke depan.

Katanya lagi, kesan putih di kepala tali pinggang Ahmad Sarbaini adalah sama dengan kesan cat di kaki lima tingkap di Aras 3 yang berukuran empat sentimeter.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid mengenai sarung telefon bimbit di pinggang seluar Ahmad Sarbaini yang tiada kesan putih, Sharul menjelaskan, ia dipakai di sebelah kiri pinggang dan bukannya di hadapan seperti kedudukan kepala tali pinggangnya.

Terdahulu, Ketua unit Alkohol dan Toksikologi Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Sukri Hassan mengesahkan tiada kandungan dadah, racun atau racun perosak ditemui di dalam usus perut lelaki tersebut.

Setakat 10 hari prosiding inkues itu berjalan sejak 4 Julai lalu, 27 saksi telah selesai memberikan keterangan.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung 2 Ogos ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment