Search This Blog

Saturday, July 9, 2011

Bas sekolah rempuh rumah


MELAKA 8 Julai - Sebuah bas sekolah yang diletakkan di kawasan curam di bahu jalan tiba-tiba menggelongsor menyeberangi jalan sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 4, Kampung Bukit Duyung di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, sembilan sekeluarga yang berada dalam rumah tersebut terselamat.

Kemalangan itu juga tidak melibatkan kenderaan lain walaupun bas tanpa pemandu itu terbabas menyeberangi jalan utama yang sibuk.

Penghuni rumah tersebut, Dahlan Kasim, 44 berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Aini Jihad, 42, serta tujuh anaknya berusia tiga bulan hingga 11 tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

"Kami tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat sebelum keadaan menjadi gelap-gelita akibat bekalan elektrik terputus," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia kemudian keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati sebuah bas sekolah telah melanggar dinding hadapan rumah dan van yang diletakkan di situ.

Tambahnya, walaupun rumah dan van miliknya rosak teruk, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

"Nasib baik masa kejadian, saya dan isteri belum masuk tidur di dalam bilik, jika tidak tentu kami cedera dihempap batu dinding bilik yang runtuh," katanya.

Dahlan yang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menambah kerugian dianggarkan RM20,000.

Sementara itu, pemandu bas sekolah berkenaan, Mordfin Wahab, 50, berkata, dia meletakkan kenderaan itu pada pukul 9.15 malam di seberang jalan kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment