Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

AS mahu dakwa News Corp.





WASHINGTON 12 Julai - Syarikat News Corp. milik hartawan media, Rupert Murdoch (gambar) mungkin menghadapi dakwaan terlibat dalam rasuah oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Pakar undang-undang di AS berkata, News Corp. mungkin dikenakan tindakan undang-undang ketika siasatan terhadap dakwaan berkenaan dibuat di bawah Akta Amalan Rasuah Asing AS.

Undang-undang itu menyatakan sebarang syarikat yang ada kaitan dengan AS bersalah jika memberikan rasuah kepada pegawai asing untuk mendapatkan atau mengekalkan perniagaan.

Media Britain sebelum ini melaporkan wartawan akhbar News of the Worldmembeli maklumat telefon kerabat diraja daripada seorang pegawai keselamatan.

Akhbar Daily Mirror pula melaporkan wartawan akhbar itu juga menawarkan untuk membayar polis New York bagi mendapatkan rekod telefon peribadi mangsa serangan keganasan 11 September 2001.

Dalam pada itu, di London, Ahli-Ahli Parlimen Britain akan menyoal ketua-ketua polis hari ini berhubung skandal intipan panggilan telefon kerabat diraja dan bekas Perdana Menteri, Gordon Brown yang menyaksikan penutupan News of the World.

Empat pegawai kanan dan bekas pegawai kanan Scotland Yard dijangka disoal oleh satu suruhanjaya hal ehwal dalam negeri ketika skandal berkenaan tersebar dan memberi kesan kepada kerajaan.

Detektif memaklumkan Brown semalam bahawa beliau mungkin menjadi sasaran The Sunday Times dan The Sun, dalam krisis terbaru yang menggegarkan industri media, politik dan polis.

"Kami terkejut dengan jenayah dan pendekatan tidak beretika untuk mendapatkan maklumat peribadi. Perkara ini sedang ditangani oleh pihak polis,'' kata jurucakap bekas Perdana Menteri itu.

Polis memberitahu Brown bahawa kakitangan The Sun dan Sunday Times telah menggodam telefon, mengakses akaun bank dan menemui rekod perubatan ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.

Akhbar Guardian melaporkan kerabat diraja termasuk Putera Charles dan isterinya, Camilla mungkin turut menjadi sasaran News of The World.

Ekoran skandal yang menjadi ancaman kepada seluruh empayar media Murdoch itu, sayap akhbar Britainnya, News International mengeluarkan kenyataan ringkas meminta maklumat mengenai dakwaan berkaitan Brown. - AFP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment