Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

4 ditahan bawa parang panjang


 MOHD MOKHTAR  (dua dari kanan) melihat sebahagian parang yang ditemui dalam sebuah kereta milik empat remaja pada sidang media di IPK Johor, semalam.
MOHD MOKHTAR (dua dari kanan) melihat sebahagian parang yang ditemui dalam sebuah kereta milik empat remaja pada sidang media di IPK Johor, semalam.


Suspek dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap naik kereta dalam keadaan curiga

JOHOR BAHRU: Empat pemuda berusia 18 hingga 23 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan bersama sembilan parang panjang dalam pemeriksaan polis dekat Taman Daya di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira warna hitam dalam keadaan mencurigakan itu, ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit kira-kira jam 1 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata anggota polis bermotosikal yang meronda di kawasan itu mengesan kereta berkenaan yang dipandu laju sebelum memintas kenderaan terbabit serta mengarahkan pemandunya supaya berhenti.

Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu terkejut apabila menemui tiga parang panjang di tempat duduk bahagian belakang, manakala enam lagi tersorok dalam bonet kereta itu.

"Berdasarkan senjata bahaya yang dibawa, kita percaya mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap. Seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Amer Awal.
Mohd Mokhtar berkata, polis masih menyiasat motif sebenar suspek membawa senjata itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang sengaja ingin menimbulkan huru hara di negeri ini.

"Polis memberi jaminan akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh kerana kita tidak mahu wujudnya kumpulan kongsi gelap di negeri ini yang boleh mendatangkan keadaan tidak selamat di kalangan masyarakat," katanya. Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Mokhtar berkata, polis menyelesaikan kes samun sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila seorang pemandu lori yang sedang tidur dalam kenderaannya itu disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa suspek dan ditinggalkan di kawasan Perindustrian Tebrau 2 sebelum mereka melarikan lori terbabit bersama dokumen serta telefon bimbit milik mangsa. Berita Harian Online | 4 ditahan bawa parang panjang

1 comment: