Search This Blog

Sunday, July 31, 2011

23 kru cemas kapal karam





Kapal MV Oceania sebelum karam (kiri) dan mula tenggelam selepas berlanggar dengan kapal MV Xin Tai Hai di kedudukan lapan batu nautika (14.4 kilometer) Barat Daya Pulau Pisang, Pontian, Johor, kelmarin. - IHSAN APMM


JOHOR BAHRU 30 Julai - Seramai 23 kru kapal MV Oceania terpaksa mengharungi detik-detik cemas apabila karam setelah berlanggar dengan kapal MV Xin Tai Hai di kedudukan lapan batu nautika (14.4 kilometer) Barat Daya Pulau Pisang, Pontian di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, semua mangsa terpaksa menyelamatkan diri dengan berhimpit-himpit menaiki dua rakit penyelamat selama dua jam.
Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah kapal dagang MV Ikaruga yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum kesemuanya dibawa ke Singapura.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal itu didaftarkan di Malta dan Panama dan dalam perjalanan ke Singapura.
"Berdasarkan maklumat diterima, kapal MV Oceania berada di hadapan MV Xin Tai Hai. Bagaimanapun MV Oceania dikatakan tiba-tiba memperlahankan kelajuan dan menyebabkan MV Xin Tai Hai tidak dapat mengelak lalu melanggar MV Oceania.
"Difahamkan, MV Xin Tai Hai meneruskan pelayaran selepas pelanggaran dan bersauh di kedudukan 1.5 batu nautika (2.7 kilometer) di selatan Tanjung Piai dan kapal MV Oceania pula tenggelam pada pukul 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pukul 11.50 malam sebelum menggerakkan dua bot Maritim Malaysia iaitu Petir 51 dan Kilat 18 ke lokasi terbabit.
Tambahnya, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan sebuah bot Maritim Malaysia ditempatkan di lokasi bagi memantau keselamatan kapal-kapal lain yang melalui kawasan berkenaan.-utusan

No comments:

Post a Comment