Search This Blog

Sunday, July 31, 2011

12 gajah mengamuk!



GUA MUSANG – Hampir dua minggu kejadian gajah mengamuk di Kampung Star di sini, tetapi ia masih menghantui penduduk setempat sehingga menyukarkan mereka untuk keluar bekerja.

Kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah dan petani masih takut untuk keluar kerana bimbang terserempak dengan sekumpulan gajah yang pernah menyerang salah sebuah kebun milik penduduk setempat.

Penduduk kampung, Zulkifli Seman, 46, kerugian hampir RM20,000 apabila kebunnya diserang sekumpulan 12 ekor gajah menyebabkan dia terpaksa menyara keluarga dengan mengambil upah menoreh getah.

Menurutnya, kebun pisang dan getah seluas lebih kurang tiga hektar yang diusahakan selama tiga tahun ini musnah dalam sekelip mata.

“Saya diberitahu penduduk setempat yang berdekatan dengan kebun tentang keadaan kebun yang diserang sekumpulan gajah pada waktu malam.

“Apabila saya sampai, melihat keadaan kebun yang teruk dan semua hasil tanaman musnah serta tidak mampu untuk melakukan sebarang perkara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Setelu, semalam.

Zulkifli berkata, walaupun tanaman pokok getah masih belum memberi hasil tetapi hasil dari tanaman pisang yang ditanamnya boleh mencecah sehingga RM1,200 setiap bulan.

Katanya, selepas melihat dan meninjau keadaan kebun, dia menghubungi pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan tetapi sehingga ke kini tiada tindakan yang dilaksanakan.

Akibat kejadian tersebut katanya, hampir 300 penduduk di sini masih berada dalam ketakutan kerana bimbang gajah liar berkeliaran di kawasan kediaman serta kebun mereka.

“Saya ada juga terserempak dengan gajah di kawasan ini tetapi tidak pernah berlaku kejadian mengamuk atau serangan gajah ke atas tanaman kami.

“Ini pertama kali yang teruk berlaku dan berharap pihak yang berwajib dalam mengambil tindakan segera sebelum membahayakan nyawa penduduk di sini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment