Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Warga India dihukum gantung edar ketamin

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga India selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 5.759 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja syarikat percetakan di India, Methan Aydroos Mohamed Pillai Naina Mohamed, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Tertuduh memakai kurta bersama seluar putih kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Methan Aydroos didakwa mengedar ketamin seberat 5.759 kilogram di tempat pemeriksaan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, kira-kira jam 3.15 petang 11 Mei 2009.

Ketika ditahan, tertuduh yang juga bapa dua anak, membawa dua beg berwarna biru dan hitam sebelum diarah pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) membuka beg berkenaan untuk diperiksa.

Tertuduh kemudian membuka beg biru menggunakan kunci yang ada padanya dan pemeriksaan mendapati, beberapa helai sari dan kain pelikat serta 14 keping bingkai gambar pelbagai corak di dalamnya.

Hasil imbasan terhadap satu daripada bingkai gambar itu mendapati ada imej warna oren gelap dan berjalur-jalur. Pemeriksaan lanjut pegawai kastam akhirnya menemui sekeping papan lapis dipaku di sekeliling bingkai berkenaan.
Selepas ditebuk papan lapis itu, didapati terdapat satu plastik lut sinar berisi serbuk putih disyaki dadah yang juga terdapat pada semua bingkai gambar itu selepas pemeriksaan teliti dilakukan.

Dadah itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan mengesahkan ia ketamin seberat 5.759 kilogram.

Terdahulu, Mohd Azman dalam penghujahannya berkata, pembelaan gagal menyangkal kes prima facie dan keterangan tertuduh disifatkan mahkamah sebagai penafian semata-mata.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KDRM, Naziah Mokhtar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.
Berita Harian Online | Warga India dihukum gantung edar ketamin

No comments:

Post a Comment