Search This Blog

Tuesday, June 28, 2011

Warga emas tak keruan



LABOK - Setiap kali hujan lebat, fikiran warga emas, Habsah Mat Nor, 60, tidak keruan memikirkan masalah banjir kilat yang dihadapinya jika hujan berterusan hampir sejam di rumahnya di Kampung Telaga Tujuh di sini, semalam.

Masalah dikatakan berlarutan selama bertahun itu menyebabkan kerugian harta benda sejak pintu air berhampiran rumahnya dibina.

Habsah berkata, setiap kali hujan lebat, air melimpah masuk ke bahagian dapur rumahnya menyebabkan kerosakan peralatan elektrik.

Menurutnya, limpahan dipercayai akibat masalah pembetung dipasang terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah air setiap kali hujan lebat.

“Masalah ini sudah lama berlaku dan aduan kepada pihak berkenaan telah dilakukan, namun tiada tindakan diambil sedangkan saya yang tinggal seorang diri terpaksa menanggung pelbagai kerugian.

“Lagipun air deras setiap kali hujan menyebabkan hakisan dan jarak antara longkang dan ruang depan rumah mak cik semakin dekat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pembetung air perlu dibaiki dan ditukar kepada saiz lebih besar sesuai dengan keperluan dan bagi mengelakkan masalah banjir kilat kepada penduduk berdekatan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, dia terpaksa memanggil anak-anaknya yang tinggal berdekatan bagi membantunya mengalihkan barang.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu turun meninjau masalah tersebut sebelum membuat keputusan cara mengatasinya.

“Ikutlah nak tukar pembetung atau apa, asalkan makcik tidak dihantui masalah banjir kilat lagi,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment