Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Warga emas putih mata rumah dihempap pokok

KUANTAN 13 Jun - Seorang warga emas berputih mata apabila melihat rumahnya ranap selepas dihempap tiga batang pokok durian di Felda Bukit Kuantan di sini, kelmarin.
Ketika kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Salebiah Johan, 64, tiada di rumah kerana menziarahi anaknya di Kemaman, Terengganu.
Salebiah yang ditemui memberitahu, kejadian yang terburuk dialaminya itu dimaklumkan oleh jirannya.
"Mujur saya tiada di rumah, jika tidak, mungkin nyawa saya terancam," katanya yang tinggal seorang diri setelah suaminya meninggal dunia.
Menurut Salebiah, sebelum kejadian itu, dia berasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk ke rumah salah seorang anaknya di Kemaman.
"Ada hikmah di sebalik kejadian ini dan saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun rumah rosak teruk," katanya yang telah tinggal di rumah itu sejak 40 tahun lalu.
Sementara itu, penduduk kampung telah mengadakan gotong-royong membaiki atap rumah Salebiah melalui peruntukan yang disalurkan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
Abdul Manan berkata, setelah dimaklumkan ketua kampung, peruntukan sebanyak RM500 disalurkan untuk membaiki atap rumah Salebiah.
"Dengan bantuan penduduk, bahagian atap rumah mangsa ini siap dibaiki kerana bimbang jika hujan, ia akan memburukkan lagi keadaan.
"Selain itu, bagi rumah-rumah penduduk yang turut terlibat dalam ribut ini, saya akan usulkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam negeri untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban mereka,'' ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk yang mengalami musibah itu dapat membaiki rumah mereka terlebih dahulu sebelum sumbangan disalurkan.
Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment