Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Warga emas kena samun




KUANTAN - Seorang peneroka tidak mampu berbuat apa-apa selepas melihat isterinya ditawan tiga perompak bersenjatakan parang yang menceroboh rumah mereka di Blok 3, Felda Jengka 25, Kuala Krau, Temerloh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun itu turut menerima nasib apabila dia dan isteri diikat sebelum perompak terbabit bertindak menggeledah rumahnya dan melarikan barang berharga membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan/Operasi), Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur di tingkat atas rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian dapur di tingkat bawah.

Menurutnya, mangsa turun untuk melihat kejadian yang berlaku namun terkejut apabila mendapati isterinya yang juga berusia 50 tahun ditawan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

“Tiga perompak dipercayai warga asing yang menutup muka menggunakan kain pelikat kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama hasil samun termasuk sejumlah barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM3,000,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Nordin berkata, mang-sa dan isterinya yang tidak dicederakan berjaya membebaskan diri sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua penyamun terbabit dipercayai warganegara asing dan ketika kejadian hanya pasangan suami isteri berkenaan berada di rumah.

“Mangsa memaklumkan mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM10,000 selepas barang berharga dan wang tunai mereka dilarikan penyamun terbabit,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang berusaha mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
SH

No comments:

Post a Comment