Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Wanita ditikam bekas suami

KOTA BHARU 20 Jun - Seorang wanita cedera ditikam bertubi-tubi di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini hari ini, dipercayai dilakukan oleh bekas suaminya selepas mangsa enggan merujuk kembali kepada suspek.

Dalam kejadian kira- kira pukul 4 petang, mangsa, Hazita Mohamad, 27, mengalami kecederaan serius selepas ditikam dengan sebilah gunting di kepala serta leher dan dikelar di bahagian muka.

Mangsa yang sedang mengikuti kursus dandanan rambut di sebuah salon di sini, kini menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa memandu keretanya dari sebuah kompleks beli belah di sini menuju ke tempat letak kereta pasar raya tersebut.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kereta itu, suspek telah menyerbu masuk ke dalam kereta mangsa sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan dia ditikam di belakang kepala, leher kiri dan kanan serta terdapat kesan kelar di mukanya.

"Orang ramai yang melihat pergelutan itu cuba membantu, bagaimanapun suspek yang bekerja sebagai pembantu hospital berjaya melepaskan diri dan mangsa telah dihantar ke HRPZ II untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azham berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berpunca daripada tindakan mangsa yang enggan merujuk kembali selepas bercerai sehingga menyebabkan suspek berang dan bertindak di luar kawalan.

Katanya, pihak polis telah mengenal pasti suspek dan usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Hazlina, 30, berkata, adiknya telah bercerai dengan suspek pada tahun lalu selepas berkahwin selama tujuh tahun dan cemburu dikatakan menjadi punca perpisahan pasangan berkenaan.

"Adik saya mengikuti kelas dandanan rambut di sebuah salon di kompleks beli belah di sini, dalam kejadian hari ini, dia mungkin ke pasar raya yang terletak kira-kira dua kilometer dari salon itu untuk membeli barang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment