Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

‘Usahawan’ muda ditipu RM25,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara ingin menjadi usahawan berjaya dalam tempoh singkat, seorang siswazah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari Cheras, di sini, kerugian RM25,000 selepas tertipu taktik licik seorang lelaki yang menawarkan peluang perniagaan berasaskan Internet yang menjual program pendidikan.

Difahamkan, lelaki berusia 25 tahun itu baru menamatkan pengajiannya dalam bidang pentadbiran perniagaan dan pada hari terakhir di IPTS berkenaan, dia menemui seorang lelaki berusia 50-an yang memperkenalkannya dengan peluang perniagaan Internet.


Sumber polis berkata, mangsa dipercayai terpengaruh dengan suspek selepas melihat gaya hidup mewahnya yang didakwa dinikmati hasil pendapatan lumayan melalui perniagaan berkenaan.

Katanya, pada mulanya mangsa diminta mendaftarkan diri di laman web yang menjadi medium komunikasi utama antara semua ahli dengan bayaran RM250.


“Perniagaan terbabit mudah dan mangsa diminta mencari ahli baru dan dia akan mendapat imbuhan RM250 untuk setiap ahli yang didaftarkan, tetapi jika gagal mencari ahli dalam tiga bulan, mangsa perlu membayar RM280 setiap bulan sebagai denda,” katanya.


Menurutnya, pada bulan pertama, mangsa mendaftarkan dua ahli dan dia mendapat bayaran RM250 yang dimasukkan terus ke akaun banknya.

Beliau berkata, selepas melihat keupayaan mangsa mencari ahli baru, suspek menemuinya untuk memperkenalkan skim perniagaan tangga dua menawarkan pulangan RM2,500 untuk setiap ahli.

“Akibat terpengaruh dengan pulangan lumayan itu, mangsa bersetuju dan kali ini, dia mencari seorang ahli baru yang dikenalinya melalui laman sembang sosial dan bayaran imbuhan dimasukkan ke banknya.

“Bagaimanapun, pada bulan kedua, dia gagal mencari ahli baru dan diminta membayar denda RM2,800 dan apabila gagal membayar jumlah terbabit dalam seminggu, wang itu dikeluarkan sendiri daripada akaun banknya,” katanya.


Sumber berkata, pada mulanya mangsa terkejut dengan tindakan suspek dan apabila membuat aduan kepada bank mengenai pengeluaran wang, akaun banknya sudah dikosongkan.


“Pemeriksaan mendapati pengeluaran dilakukan dari luar negara dan bank tidak dapat mengesan lokasinya.


“Selepas menyedari dia tertipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan laman web itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan terbabit dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro | ‘Usahawan’ muda ditipu RM25,000

No comments:

Post a Comment