Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tinggal bayi dalam plastik


KUALA LUMPUR: “Kasihan melihat keadaan bayi yang ditinggalkan dalam balutan plastik, saya berlari mengambil payung di pondok pengawal untuk melindungi bayi itu,” kata Nair Sagar, berhubung penemuan bayi seorang perempuan di Platinum Walk, semalam.
Nair, 19, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, penemuan bayi perempuan yang dipercayai dibuang itu dimaklumkan seorang lelaki yang mahu meletakkan kenderaan di bangunan terbabit di Jalan Langkawi Danau Kota, Setapak.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, bayi yang masih bernyawa dan bertali pusat itu dibaluti beg plastik, surat khabar dan sehelai kain, malah terdapat lubang kecil pada plastik berkenaan dipercayai bagi membolehkan bayi itu bernafas.

“Selepas dimaklumkan lelaki terbabit, saya memeriksa bungkusan terbabit dan mendapati ia berisi bayi. Saya buka balutan terbabit kerana bimbang dia kepanasan sebelum meminta bantuan majikan membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, polis dan anggota paramedik tiba di tempat kejadian 10 minit selepas itu dan memotong tali pusat bayi berkenaan. Bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran. Katanya, keadaan bayi itu kini dilaporkan sihat dan tiada kecederaan.

myMetro | Tinggal bayi dalam plastik

No comments:

Post a Comment