Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tiga warga emas ditahan Ops Kutu Rayau

ALOR GAJAH 13 Jun - Tiga warga emas ditahan dalam operasi kutu rayau yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar daerah Alor Gajah, malam kelmarin.
Dalam operasi selama tiga jam bermula 11 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia 50 hingga 60 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Pulau Sebang dan seorang di Dataran Keris, di sini.
Sewaktu ditahan semua mereka sedang tidur di atas lantai premis perniagaan.
Ketua Operasi, Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPAG, Kapten (B) Kamarol Abu Bakar berkata, serbuan itu tertumpu di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi golongan terbabit bermalam seperti kawasan pasar, stesen bas, stesen keretapi dan juga siar kaki bangunan.
Menurutnya, selain JKM, operasi yang pertama kali dilancarkan oleh MPAG itu turut mendapat bantuan daripada pihak polis dan Jabatan Agama Islam Melaka.
"Semua yang ditahan tidak mempunyai kad pengenalan, tiada keluarga terdekat serta tidak mempunyai kediaman," katanya.
Kesemua yang ditahan diserahkan kepada JKM untuk diambil tindakan mengikut Akta Orang Papa 1977 dan dibawa ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheng.
Beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi seumpama itu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan daerah Alor Gajah bebas dari kegiatan kutu rayau dan masalah gelandangan.
Katanya, operasi itu bertujuan menjadikan daerah Alor Gajah bersih dan bebas daripada kehadiran kutu rayau yang dilihat semakin berleluasa di sini.
Utusan Malaysia Online - Selatan

No comments:

Post a Comment