Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Tiga sekawan hadapi tuduhan datangkan kecederaan



JOHOR BAHRU – Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata, Ahad lalu.

Tertuduh, Yap Hong Yen, 46, Lee Kian Hock, 43, dan Goh Ah Soon, 33, mengaku tidak bersalah atas dakwaan yang dibacakan di hadapan Hakim, Hassan Abdul Ghani dan minta dibicarakan.

Hong Yen dan Ah Soon yang bekerja sebagai tukang pasang jubin manakala Kian Hock sebagai tukang cat didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.45 pagi di California Dream Caf, Jalan Bestari 2/5, Taman Nusa Bestari dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tangan mangsa, Luai Kuai Fook, 49, dengan menggunakan senjata berkemungkinan menyebabkan kematian iaitu kerusi.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiganya sedang minum di kedai sebelum salah seorang daripada mereka dalam keadaan mabuk menyerang mangsa yang juga pekerja di syarikat telekomunikasi.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Chuah Shyue Chien menetapkan jaminan RM15,000 setiap seorang.

Hassan menetapkan jaminan RM10,000 seorang dan 26 Julai depan bagi perbicaraan.
SH

No comments:

Post a Comment